SUKAN BANGSA JOHOR SEMARAK XTIF JOHOR
Setelah berlangsungnya pertandingan bagi memilih pasukan terbaik untuk mewakili kontinjen Dewan Undangan Negeri (DUN), Sukan Bangsa Johor 2024 Peringkat Negeri yang berlangsung selama dua hari di daerah Kluang membuka tirainya hari ini.
Johor menjadi satu-satunya negeri menganjurkan acara sukan melibatkan masyarakat di peringkat akar umbi yang telah bermula pada tahun 2015 dikenali Sukan Muafakat Johor pada awalnya, namun telah diberikan nafas baharu sebagai Sukan Bangsa Johor pada tahun 2022.
Merupakan inisiatif di bawah strategi XTIF Johor, Sukan Bangsa Johor menyaksikan kontinjen 56 DUN berentap dalam empat acara iaitu futsal, bola jaring, sepak takraw dan bola keranjang ‘3 on 3’ untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Turut mengetengahkan kabaddi sebagai sukan pertunjukan, penganjuran Sukan Bangsa Johor oleh Kerajaan Negeri bertujuan merakyatkan sukan dan mempromosikan gaya hidup sihat serta aktif dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia.
Sukan Bangsa Johor juga menjadi pendekatan serampang dua mata bagi mencungkil dan mengenal pasti bakat baharu yang terdapat di setiap DUN serta menterjemahkan ‘Cara Johor’ memperkukuhkan permuafakatan termasuklah dalam kalangan rakyat dengan pemimpin.
Sukan Bangsa Johor 2024 edisi kali ini menyaksikan kira-kira 1,947 peserta dan pegawai mewakili kontinjen DUN masing-masing membawa panji dengan iltizam dan semangat dalam usaha untuk mengungguli setiap acara sukan seterusnya dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Majlis Perasmian Pembukaan Sukan Bangsa Johor 2024 bakal berlangsung di Kompleks Sukan Kluang pada malam ini, akan disempurnakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan dijangka menampilkan kelainan sekali gus meletakkannya dalam kelas tersendiri.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor