KERAJAAN JOHOR KOMITED MUDAH CARA PELABURAN


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian penutup Gerak Kerjaya Mega MYFuture Jobs Johor 2024 (GEGAR) di Stadium Tertutup MBJB Arena Larkin. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kerajaan Johor komited menjadikan penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) sebagai medium untuk menangani cabaran dalam menjayakan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas di Forest City yang dijangka dimuktamad tidak lama lagi.

 

Penekanan yang diberikan menerusi pusat sehenti itu juga dapat membantu menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi seterusnya menjadikan Forest City sebagai salah satu pusat kewangan antarabangsa terbesar dengan menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Johor.

 

Usaha mengurangkan birokrasi atau ‘ease of doing business’ nyata membuahkan hasil apabila terdapat beberapa syarikat pusat data seperti Princeton Digital Group (PDG) telah memulakan operasi di Taman Teknologi Sedenak (STeP 1) dalam tempoh setahun selepas memeterai perjanjian bersama JLand Group (JLG).

 

Selain itu, inisiatif Kerajaan Negeri dalam menubuhkan Majlis Pembangunan Bakat Negeri Johor (JTDC) juga adalah cerminan kepada usaha dalam membekalkan tenaga mahir kepada para pelabur dengan menyediakan gaji yang setaraf dengan kepakaran dimiliki oleh para pekerja.

 

Di samping itu, generasi muda negeri ini juga diseru untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan dengan kira-kira 20,000 kekosongan pekerjaan masih lagi belum diisi daripada 74,710 jawatan yang telah diiklankan sejak Januari lalu sekali gus menterjemah komitmen Kerajaan Johor dalam memenuhi keperluan tenaga mahir.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian penutup Gerak Kerjaya Mega MYFuture Jobs Johor 2024 (GEGAR) di Stadium Tertutup MBJB Arena Larkin, selain turut menyampaikan 10 surat tawaran pekerjaan kepada pencari kerja yang berjaya selepas menghadiri temu duga terbuka pada program berkenaan.

 

Hadir sama, YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor ; YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor dan YBhg Tazrina Ahmad, Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor