JOHOR TINGKAT KEUPAYAAN MITIGASI BANJIR MELALUI BELANJAWAN NEGERI 2027

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM178.7 juta menerusi Belanjawan Johor 2027 bagi memperkukuh pengurusan risiko bencana dan mitigasi banjir melalui 11 inisiatif utama, termasuk RM89.1 juta untuk pengurusan banjir oleh PBT serta RM48.4 juta bagi penyelenggaraan sungai, parit dan kolam takungan banjir demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan Bangsa Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM178.7 juta bagi memperkukuh pengurusan risiko bencana dan mitigasi banjir menerusi Belanjawan Johor 2027, sebagai langkah berterusan untuk memastikan keselamatan serta kesejahteraan Bangsa Johor sentiasa terpelihara.
Peruntukan berkenaan merangkumi 11 inisiatif utama dengan RM89.1 juta disalurkan bagi memperkasa pengurusan banjir di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala RM48.4 juta pula diperuntukkan untuk penyelenggaraan sungai, parit dan kolam takungan banjir.
Selain itu, sebanyak RM8.3 juta turut diperuntukkan bagi kerja menaik taraf dan membina sistem perparitan, longkang serta kolam tadahan di kawasan hotspot banjir, diikuti RM7.9 juta untuk Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan RM6.7 juta bagi kerja menaik taraf lembangan sungai.
Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM3.9 juta bagi keselamatan empangan dan menaik taraf jalan ladang, RM3.7 juta untuk kerja pengawalan hakisan pantai, RM3.6 juta bagi penggalian muara sungai serta RM3.1 juta untuk menaik taraf saliran pertanian.
Bagi memperkukuh kecekapan sistem kawalan air, sebanyak RM2.3 juta turut disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara komponen mekanikal serta elektrikal di pintu-pintu air, manakala RM1.7 juta diperuntukkan bagi pembinaan, naik taraf dan penyelenggaraan stesen telemetri.
Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memperkukuh infrastruktur saliran, meningkatkan keupayaan menghadapi bencana serta mengurangkan risiko banjir, khususnya di kawasan yang sering terjejas ketika musim tengkujuh.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membentangkan Belanjawan Johor 2027 pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#BelanjawanJohor2027
#MitigasiBanjir
#PengurusanBencana
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


