SEKOLAH RINTIS JOHOR PERSIAP GENERASI MASA DEPAN


Gambar hiasan.

 

Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti supaya Bangsa Johor tidak keciciran, sekolah rintis Johor yang bakal dilancarkan Kerajaan Negeri pada Februari 2025 diyakini dapat melahirkan generasi yang memacu dan menghadapi cabaran serta berdaya saing di peringkat global.

 

Hasil pelaksanaan inisiatif membabitkan dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah itu dijangka dapat dilihat dalam tempoh satu atau dua tahun yang merupakan sasaran realistik dan boleh dicapai menerusi kerjasama erat Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui mekanisme ‘feeder school’ dalam memastikan kesinambungan pembelajaran dan prestasi cemerlang dikekalkan.

 

Malah, aspek kemenjadian pelajar dan kebajikan warga pendidik akan terus diberikan keutamaan Kerajaan Negeri dalam memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan untuk melahirkan generasi berkualiti cemerlang dari aspek pendidikan serta sahsiah diri sekali gus mempersiapkan mereka untuk keperluan industri.

 

Justeru, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor berkeyakinan pelaksanaan sekolah rintis tersebut juga mampu meningkatkan kualiti pendidikan menerusi persiapan agresif melibatkan program latihan guru-guru dengan tumpuan diberikan terhadap penguasaan bidang ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bahasa Inggeris.

 

Usaha tersebut telah dizahirkan menerusi program latihan modul STEM di Institut Pendidikan Nasional (NIE) Singapura melibatkan warga pendidik untuk menggilap potensi, pemahaman dan kemahiran mengajar terutamanya dalam bidang STEM yang akan diperluaskan menjelang pelaksanaan sekolah rintis Johor.

 

Pada 9 Mei lalu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah agar Johor menjadi negeri pertama mengubah dan memperbaharui silibus mata pelajaran di sekolah sekiranya tidak dapat dilaksanakan di peringkat nasional demi melahirkan generasi masa hadapan yang berdaya saing.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor