3 ELEMEN, EKSA MAMPU LONJAK SEKTOR AWAM JOHOR
Elemen sentuhan manusia, kebijaksanaan dan kepantasan dalam membuat keputusan serta perlu mempunyai kesihatan fizikal dan mental menjadi antara perkara yang perlu ada dalam setiap diri penjawat awam di Negeri Johor, sekali gus membentuk satu budaya kerja yang lebih efisyen dan dinamik.
Cetusan ini disuarakan sendiri oleh YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Penasihat Jawatankuasa Induk Program Gotong Royong Perdana Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) yang turut mahukan penjawat awam di Johor bukan sahaja mempunyai integriti yang profesional tetapi juga tahap keperibadian yang tinggi dan cemerlang.
YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani menegaskan elemen ini juga akan menjadi benteng pada diri penjawat awam di Johor daripada hambatan teknologi terkini serta bersedia mengadaptasinya seperti kecerdasan buatan (AI) dan dunia pendigitalan yang semakin berkembang pesat.
Selain itu, penekanan turut diberikan agar penjawat awam memiliki sifat kebersamaan dan rasa ‘sense of belonging’ yang dilihat berupaya membantu mereka supaya tidak terbeban dalam melaksanakan tugas harian dengan baik dan cemerlang.
Terdahulu, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor hadir merasmikan Majlis Pelancaran dan Gotong Royong Perdana Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar.
YB Tan Sri Setiausaha Kerajaan Johor turut menyampaikan dokumen Dasar dan Buku Garis Panduan EKSA kepada wakil ketua-ketua jabatan yang bernaung di bawah sayap Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor.
Hadir sama, YB Dato’ Haji On bin Jabbar @ Jaafar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan); YB Dato’ Haji Ashari bin Haji Kasnan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan); Hajah Shubanah binti Yusuf, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat); dan YB Dato’ Haji Ismail bin Haji Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk EKSA Pejabat SUKJ.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor