IMT-GT LETAK JOHOR DI PETA DUNIA
Mesyuarat Menteri IMT-GT ke-30 sempena siri mesyuarat Segitiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) menjadi platform unik memperkukuh kerjasama ketiga-tiga negara yang turut melibatkan Johor bagi mengukuhkan sistem ekonomi berdaya tahan.
Penganjuran IMT-GT di Johor juga membawa cerminan potensi dimiliki negeri ini untuk memacu pengurusan sumber dan alam sekitar secara lestari di rantau ini selain memperkukuhkan kerjasama dalam mewujudkan pengurusan dan pemulihan ekosistem menerusi Pusat Kelestarian Johor (JSC).
Menerusi mesyuarat tersebut, Kerajaan Malaysia telah mengesahkan komitmen bersama dan bekerjasama dengan lebih erat bagi mewujudkan kemampanan ekonomi dalam usaha memastikan segenap lapisan masyarakat dalam kalangan negara anggota menerima manfaat tersendiri.
Selain itu, IMT-GT telah merekodkan nilai dagangan AS$660 bilion pada tahun 2023 berbanding AS$350.9 bilion pada 2020 dengan kadar pelaburan turut melonjak kepada AS$48.1 bilion berbanding AS$26.1 bilion dicatatkan pada 2020 sekali gus menandakan kemajuan progresif ekonomi negara-negara anggota.
Mesyuarat turut membincangkan kepentingan memperkasa tenaga kerja buat ketiga-tiga negara dengan penekanan akan terus diberikan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membangunkan sumber manusia yang mahir dalam bidang kecerdasan buatan (AI), robotik dan ekonomi hijau.
Terdahulu, YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi mempengerusikan Mesyuarat Menteri IMT-GT ke-30 di Desaru Coast Conference Centre, Kota Tinggi. Hadir sama, YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor