RANHILL SAJ TERUS BEKAL AIR SECARA HOLISTIK


Empangan Kahang, Kluang.

 

Syarikat pengendali utiliti air Johor, Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (Ranhill SAJ) akan memberi tumpuan kepada usaha jangka masa panjang termasuk program penggantian paip lama dalam memastikan bekalan air dapat disalurkan secara holistik.

 

Inisiatif bagi meningkatkan kecekapan rawatan dan agihan air tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM165 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penggantian paip lama sepanjang 206 kilometer yang dijangka memanfaatkan 170,000 pengguna domestik dan industri.

 

Ranhill SAJ juga sentiasa komited dalam mengawal kadar kehilangan air terawat dalam usaha memastikan kestabilan bekalan air, meningkatkan rizab margin air seterusnya mengurangkan impak kerugian pulangan ekonomi sektor bekalan serta pembaziran sumber air.

 

Ia bagi menyokong kepesatan pembangunan yang berlaku di negeri ini sehingga menjadi tumpuan pelabur luar sekali gus membantu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri bagi menjadikan Johor sebagai hab pusat data terbesar di Malaysia dan rantau ini.

 

Langkah proaktif turut diambil oleh operator tunggal perkhidmatan air Johor untuk memastikan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) di negeri ini terkawal dan mencapai sasaran ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada kadar 25.5 peratus.

 

Malah, kadar NRW Negeri Johor juga merupakan antara terbaik di Malaysia iaitu 25 peratus pada tahun 2023 manakala prestasi NRW semasa sehingga Julai tahun ini pula berada pada 24.14 peratus berbanding 25 peratus ditetapkan pihak SPAN.

 

Prestasi positif berkenaan merupakan cerminan iltizam dan komitmen Ranhill SAJ menerusi inisiatif dilaksanakan termasuk program penggantian paip dan meter lama, program pengurusan kawalan atau tekanan, serta pemasangan alat telemetri di tangki-tangki air.

 

Selain itu, persediaan turut dilakukan dalam mendepani krisis perubahan iklim yang bersifat luar jangka bagi memastikan bekalan air mampan menerusi pembinaan sumber air melibatkan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Lebak dan Sungai Pontian Besar serta pembinaan Baraj Sungai Muar.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor