REALISASI IMPIAN JADI REALITI


Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

 

Inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) nyata berjaya merealisasikan impian pasangan muda untuk memiliki kediaman sendiri berikutan harga ditawarkan jauh lebih rendah berbanding pasaran.

 

Bukan sahaja tawaran harga lebih rendah, Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) turut menyediakan baucar bernilai RM1,000 kepada pembeli RMMJ yang telah menerima Surat Serahan Milikan Kosong bagi membolehkan mereka mengambil kunci.

 

Bagi anggota bomba, Zainurrahman Dahlan, 31, dia bersyukur kerana hasrat mendiami rumah sendiri terlaksana selepas permohonan RMMJ jenis C di Pangsapuri Senibong Indah yang dibuatnya secara atas talian telah diluluskan dalam tempoh sebulan.

 

Lebih manis, dia dan isteri Nur Atikah Ramli, 29, turut menerima manfaat daripada baucar bernilai RM1,000 disediakan PKPJ sebagai usaha membantu meringankan beban mereka semasa proses pembelian rumah melibatkan pembayaran duti setem serta deposit utiliti.

 

Seorang lagi pembeli, Vishalini Krishnan, 36, menzahirkan kesyukuran meskipun bekerja sebagai pembantu farmasi namun masih lagi berpeluang memiliki RMMJ jenis B di Taman Pulai Mutiara 2 selepas berjaya pada undian terbuka dijalankan PKPJ pada bulan Mei lalu.

 

Strategi Pembangunan Perumahan Rakyat di dalam Belanjawan Johor 2024 menjadi cerminan komitmen Kerajaan Negeri memastikan Bangsa Johor mempunyai kediaman selesa pada harga mampu milik dengan sebanyak 12,450 unit RMMJ telah siap dibina sejak tahun 2022 hingga Ogos 2024.

 

Malah, Jawatankuasa Penilaian, Perancangan dan Reka Bentuk (PDRC) akan terus memastikan syarikat pemaju mematuhi dasar perumahan dengan membina RMMJ pada harga kurang daripada RM150,000 mengikut komponen yang sudah ditetapkan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor