FOREST CITY ‘GAME CHANGER’ EKONOMI JOHOR


YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Dasar jelas serta insentif menarik digariskan di bawah Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) diyakini membuka peluang luas untuk sektor perniagaan tempatan serta menjana peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi sekali gus meningkatkan daya saing Johor dalam ekonomi global.

 

Keyakinan tersebut dilontarkan YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Negeri Johor, sambil menambah penyertaan kukuh pemain industri kewangan tempatan dan antarabangsa akan menjadikan FCSFZ sebagai perintis laluan Johor menjadi hab kewangan baharu.

 

Pengenalan dasar cukai sifar untuk pejabat keluarga atau firma pengurusan kekayaan merupakan langkah strategik bagi menarik lebih ramai individu berpendapatan tinggi ke Johor menguruskan aset mereka di Forest City dibantu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi skim komprehensif Pejabat Keluarga Tunggal (SFO).

 

Selain itu, insentif istimewa kadar cukai korporat antara kosong hingga lima peratus untuk syarikat perkhidmatan perniagaan global dan teknologi kewangan (fintech) akan mencorak landskap ekonomi kompetitif sekali gus menarik minat syarikat multinasional ke kawasan FCSFZ.

 

Justeru, usaha merealisasikan hasrat Forest City sebagai kewangan global perlu disokong dengan strategi merapatkan jurang kemahiran secara proaktif bagi memastikan tenaga kerja tempatan bersedia memenuhi permintaan sektor kewangan yang semakin berkembang dengan pesat.

 

Dato’ Hasni juga yakin penubuhan pusat perkhidmatan perniagaan terkemuka di FCSFZ akan meningkatkan produktiviti sektor kewangan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kadar pelaburan langsung asing (FDI) dan memacu pertumbuhan ekonomi yang berterusan di Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor