JOHOR PERINTIS SISTEM GAJI PREMIUM


YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri I hadir menyempurnakan pelancaran JTDC dan Karnival Kerjaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan hari ini bakal bertindak sebagai hab sehenti menghubungkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri dan pencari kerja.

 

Penubuhan JTDC secara tidak langsung menjadikan Johor sebagai negeri perintis melaksanakan sistem gaji premium bermula serendah RM4,000 untuk lepasan TVET yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan lepasan diploma selain berperanan dalam menyelaras program latihan mengikut keperluan industri.

 

Bakal menawarkan 100,000 peluang pekerjaan untuk 10 sektor di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), JTDC memastikan graduan TVET mendapat imbuhan setimpal dengan kemahiran masing-masing bersandarkan penanda aras gaji di negara jiran sekali gus melahirkan tenaga kerja mahir tempatan berdaya saing.

 

Usaha menggalakkan pembangunan kemahiran berteknologi tinggi turut digerakkan JTDC menerusi memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani bersama pemain industri utama pelbagai sektor seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Mercedes Benz, ByteDance dan Microsoft.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri I hadir menyempurnakan pelancaran JTDC dan Karnival Kerjaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

 

Hadir sama, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor serta YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor