LEBIH 10,500 PENGUNJUNG MERIAHKAN KARNIVAL HARI KELUARGA JOHOR 2026

Program cetusan ilham KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah itu dianjurkan bagi meraikan serta menyantuni rakyat Johor menerusi pelbagai aktiviti riadah, kemasyarakatan dan kekeluargaan. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Lebih 10,500 pengunjung telah memeriahkan Karnival Hari Keluarga Johor 2026 yang berlangsung di Dataran Bandaraya Johor Bahru, sekali gus menjadi ruang untuk rakyat berkumpul, beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga.
Program cetusan ilham KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah itu dianjurkan bagi meraikan serta menyantuni rakyat Johor menerusi pelbagai aktiviti riadah, kemasyarakatan dan kekeluargaan.
Pelbagai pengisian telah disediakan termasuk Jamuan Bangsa Johor, Bantuan Prihatin Bangsa Johor, Karnival Kerjaya dan Peluang Pendapatan, Keperluan Asas Percuma, Karnival Kesihatan Mega, Anak Johor Cemerlang, Dapur Rahmah Bangsa Johor serta Sukaneka Keluarga dan Sukan Rakyat.
Selain itu, Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) turut menyumbang 10 set peralatan persekolahan Bangsa Johor dan 10 cermin mata kepada pelajar daripada keluarga B40, selain menyediakan 100,000 pelitup muka untuk diagihkan kepada empat daerah yang menjayakan Karnival Hari Keluarga Johor ini.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut menyumbangkan RM188,000 kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) bagi menyokong pelajar-pelajar Johor yang akan mewakili negara ke ‘World Final Round 14th HIPPO The Contest 2026’ di Spoleto, Itali, yang akan berlangsung dari 26 September hingga 2 Oktober 2026.
Karnival berkenaan turut menjadi wadah menyantuni golongan yang memerlukan apabila 20 pejuang kanser daripada keluarga B40 menerima sumbangan sebanyak RM1,000 setiap seorang menerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor sebagai tanda sokongan kepada mereka yang sedang berjuang melawan penyakit berkenaan.
Keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menyerikan karnival apabila Seri Paduka Baginda berkenan melawat khemah-khemah pameran serta beramah mesra bersama rakyat yang hadir.
Turut berangkat sama mengiringi Raja Permaisuri Agong ialah YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan YAM Tunku Tun Aminah binti Sultan Ibrahim.
Sambutan Hari Keluarga Johor 2026 turut diadakan serentak di tiga lagi daerah, iaitu Kluang, Mersing dan Segamat, sekali gus menghimpunkan masyarakat dalam suasana santai sambil mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memperkukuh semangat kebersamaan Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#HariKeluargaJohor2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


