BELANJAWAN 2025 SERLAH KONSISTENSI KERAJAAN JOHOR


Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Johor pada pembentangan Belanjawan Johor 2025, Khamis lalu. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Belanjawan Johor 2025 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Khamis lalu, memperlihatkan peningkatan ketara hampir RM2 bilion hasil negeri, sekali gus menyerlahkan kecekapan tadbir urus serta iltizam Kerajaan Negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

 

YB Prof Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor menyifatkan belanjawan tersebut turut mencerminkan kepimpinan Kerajaan Negeri yang berjiwa rakyat serta komited terhadap usaha pembangunan ekonomi dan sosial, selain tadbir urus yang konsisten dalam menjayakan agenda Maju Johor.

 

Bertemakan ‘Maju Johor, Rakyat Sejahtera’, belanjawan holistik itu turut menggariskan beberapa inisiatif penting termasuk rancangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) yang dijangka membuka lebih 100,000 peluang pekerjaan, selain mampu merancakkan kemasukan pelaburan asing dan domestik ke kedua-dua zon eksklusif ekonomi itu.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri juga dilihat turut memberi fokus terhadap agenda keterjaminan makanan dengan keutamaan tumpuan kepada kegiatan ekonomi pertanian dan asas tani bagi memajukan kawasan luar bandar, selain pada masa sama pelbagai bantuan disediakan kepada golongan kurang bernasib baik bagi menyokong usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat terutama membabitkan golongan B40.

 

Peruntukan signifikan bagi segmen Orang Muda Johor juga selaras dengan dasar Kerajaan Negeri bagi menjayakan program pembangunan modal insan Johor dengan menitikberatkan aspek pendidikan menerusi pelbagai bentuk bantuan pendidikan disediakan merangkumi pendidikan rendah dan menengah, pendidikan agama serta pengajian tinggi.

 

Justeru, Belanjawan Johor 2025 juga turut menggambarkan jiwa raga kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi yang begitu dekat dengan rakyat serta mempunyai iltizam untuk membangunkan ekonomi negeri dan rakyat dan di samping melaksanakan pelbagai inisiatif mensejahterakan kehidupan Bangsa Johor dan seterusnya meneruskan tekad untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.

 

#BelanjawanJohor2025
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor