KERJA TANAH PUNCA AIR BERWARNA PUTIH DI SUNGAI KIM KIM

Hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar mendapati kejadian air berwarna putih di Sungai Kim Kim pada 28 Oktober 2026 dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pengorekan tanah sedalam kira-kira lima meter bagi tujuan pemasangan kabel dan bukannya akibat pencemaran. | Foto FB AH SOON
#JohorBahru – Kejadian air berwarna putih di Sungai Kim Kim pada 28 Oktober 2026 dipercayai berpunca daripada kerja-kerja tanah sedalam kira-kira lima meter bagi tujuan pemasangan kabel di kawasan berkenaan dan bukannya disebabkan oleh pencemaran.
YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan pemeriksaan awal di lokasi pada hari yang sama susulan dakwaan pencemaran yang tular di media sosial.
Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada pencemaran dikesan seperti yang didakwa, bagaimanapun JAS kembali ke lokasi pada hari ini bagi menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian air berwarna putih yang dilaporkan.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian tersebut berpunca daripada kerja-kerja tanah bagi tujuan pemasangan kabel yang dijalankan pada sekitar jam 3 petang, semalam.
Beliau memahami kebimbangan masyarakat setempat berhubung kejadian itu, khususnya mengambil kira sejarah pencemaran yang pernah berlaku di Sungai Kim Kim sebelum ini.
Sehubungan itu, Kerajaan Johor memandang serius setiap laporan berkaitan kualiti alam sekitar dan akan terus memastikan pemantauan serta tindakan sewajarnya dilaksanakan oleh agensi berkaitan.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya segera menyalurkan aduan kepada JAS sekiranya mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan atau tanda-tanda pencemaran alam sekitar menerusi Portal e-Aduan di https://eaduan.doe.gov.my atau talian hotline JAS di 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam.
#SungaiKimKim
#JabatanAlamSekitar
#AlamSekitar
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


