KWSAB DIBUKA HUJUNG MINGGU BERMULA 2025


Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) akan dibuka kepada orang ramai pada hujung minggu bermula tahun hadapan. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) akan dibuka kepada orang ramai pada hujung minggu bermula tahun hadapan menerusi peruntukan RM812,000 dalam Belanjawan Johor 2025 dengan menampilkan pengisian lebih menarik kepada pengunjung meliputi pelbagai segmen khas.

 

Inisiatif untuk merakyatkan seni budaya Johor yang akan dilaksanakan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) itu seiring dengan usaha Kerajaan Negeri dalam memperkenalkan khazanah warisan dan budaya negeri ini kepada pengunjung sekali gus menjadikannya antara destinasi pelancongan pilihan.

 

Dengan peningkatan jumlah pengunjung mencecah sehingga 100,000 orang yang dicatatkan sejak pasca COVID-19, Kerajaan Negeri berkeyakinan kompleks yang mempamerkan seni bina, keunikan replika sajian warisan Johor dan Galeri Tenun Johor itu akan menarik kira-kira 300,000 pelawat pada tahun 2025.

 

Antara tarikan lain yang terdapat di KWSAB termasuklah pameran pelbagai karya lukisan anak seni menerusi Galeri Seni Johor dan pameran koleksi kain benang Johor di dalam Galeri Tenun Johor di samping pengunjung turut berpeluang mempelajari keunikan 15 variasi Zapin Johor di Rumah Zapin Johor.

 

Selain itu, sebanyak RM7 juta turut diperuntukkan Kerajaan Negeri di dalam Belanjawan Johor 2025 bagi melaksanakan kerja-kerja restorasi Muzium Tokoh Johor terletak di Bukit Senyum dalam usaha mempelbagaikan destinasi pelancongan menarik menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor