JOHOR PERKASA TANAMAN LADA HITAM


YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor ketika ditemui selepas Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. | Foto MDJ Nurina Aisyah.

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor berhasrat meningkatkan produktiviti tanaman lada hitam bagi mengambil manfaat daripada jumlah import yang tinggi terhadap hasil utama pernah menyumbang kepada kemajuan pembangunan dan ekonomi Johor pada abad ke-19.

 

Sebanyak RM500,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Johor 2025 bagi pembangunan dan perluasan industri lada hitam di negeri ini, sebagai langkah awal menambah keluasan kawasan tanaman komoditi itu.

 

Sehingga kini, industri lada hitam di Johor melibatkan kawasan tanaman seluas 21.6 hektar dengan penyertaan 90 pekebun di FELDA Inas, Kulai selain beberapa lokasi lain berskala kecil di sekitar daerah Batu Pahat dan Pontian.

 

Selain itu, sektor pertanian dan industri asas tani telah menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM67.8 juta dalam Belanjawan Johor 2025 bagi menjayakan 13 inisiatif sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan Negeri Johor.

 

Manakala agenda pembangunan luar bandar di Johor juga menerima peruntukan signifikan berjumlah RM145.92 juta termasuk untuk pembangunan infrastruktur asas lot kediaman generasi kedua FELDA dan pelaksanaan program Jelajah Desa Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#MajuJohor
#SahihTepatPantas