JOHOR TUBUH TABUNG PEMBANGUNAN SUKAN NEGERI

Penubuhan tabung di bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 itu akan membolehkan sumbangan disalurkan bagi membiayai latihan dan pembangunan bakat, selain membantu penyertaan atlet dalam pertandingan peringkat negeri hingga antarabangsa. | Foto MDJ Nazreen Aimie.
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri meluluskan penubuhan Kumpulan Wang Amanah Tabung Pembangunan Sukan Negeri Johor sebagai inisiatif dalam memperkukuh pembangunan sukan di negeri ini.
Inisiatif itu dilaksanakan bagi menyediakan sokongan kewangan kepada atlet, jurulatih, pegawai sukan dan pasukan yang dapat mengharumkan nama Johor serta Malaysia.
Lebih menarik, setiap sumbangan yang diberikan kepada tabung khas itu layak mendapat potongan cukai pendapatan bersamaan 100 peratus daripada amaun yang disumbangkan, berdasarkan pengesahan Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan Malaysia pada 4 November 2026.
Penubuhan tabung di bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 itu akan membolehkan sumbangan disalurkan bagi membiayai latihan dan pembangunan bakat, selain membantu penyertaan atlet dalam pertandingan peringkat negeri hingga antarabangsa.
Selain itu, dana berkenaan juga boleh dimanfaatkan untuk pemberian insentif, penyediaan infrastruktur dan peralatan sukan, penganjuran kejohanan rasmi, penyelidikan, promosi dan pemasaran sukan yang tertakluk kepada persetujuan Jawatankuasa Kumpulan Wang terbabit.
Bagi memastikan pengurusan dana ini dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab, setiap terimaan serta pengeluarannya akan diperakaunkan oleh Bendahari Negeri Johor, manakala penyata tabung akan diserahkan kepada Pengarah Audit Negeri selewat-lewatnya 28 Februari setiap tahun.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMajuRakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


