MBJB BENTANG BELANJAWAN RM569.9 JUTA
#JohorBahru – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) semalam membentangkan Belanjawan MBJB yang berjumlah RM569.9 juta dengan lebihan bajet dijangka pada jumlah RM100,000.
Unjuran itu bertitik tolak daripada sasaran kutipan hasil sebesar RM570 juta iaitu peningkatan hasil RM19.3 juta yang sebahagian besar disumbangkan oleh hasil cukai sebesar 68 peratus, hasil bukan cukai (23 peratus) dan terimaan bukan hasil (9 peratus).
Daripada jumlah pendapatan itu, MBJB memperuntukkan RM327.9 juta untuk belanja mengurus manakala RM242 juta pula dikhususkan bagi tujuan pembangunan bandar raya.
Belanjawan MBJB ini akan memberi fokus kepada enam teras utama iaitu Tadbir Urus Kerajaan; Pembangunan Ekonomi; Jaringan Keselamatan Sosial, Kemudahan dan Keperluan Asas; Keselamatan, Kebersihan dan Keperluan Asas serta Orang Muda Johor.
Antara fokus yang diberikan tumpuan dalam Belanjawan MBJB 2025 ialah inisiatif kerajaan digital, menjayakan Pusat Aduan Bersepadu Negeri Johor, evolusi bandar pintar, inisiatif ‘JB Smart Lane’, menaik taraf kemudahan awam tarikan pelancongan dan program bagi membantu golongan yang memerlukan di sekitar kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan berkenaan.
Selain itu, Belanjawan MBJB 2025 turut memberi fokus kepada kerja penyelenggaraan, tebatan banjir, pembersihan dan keindahan sungai, selain tumpuan diberikan kepada sistem perhubungan jalan raya.
MBJB juga turut merancang pelbagai aktiviti menarik khususnya untuk golongan muda seperti karnival sukan ekstrim, program hari belia dan JB Fit. Seramai 50 orang Duta Sejahtera (DUTRA) yang melibatkan anak muda akan dilantik bagi membolehkan mereka memberi sumbangan kepada masyarakat dan seterusnya menyediakan mereka sebagai pemimpin masa depan.
Terdahulu, YB Dato’ Haji Mohd Noorazam Dato’ Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru telah membentangkan Belanjawan MBJB 2025 pada Mesyuarat Penuh MBJB Bil. 11/2024 yang diadakan di Dewan Inai Merah, Menara MBJB.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor