JOHOR TIMBA ILMU DENGAN KOREA SELATAN


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor berucap di Forum Ekonomi Sinergi Johor 2024. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Negeri Johor terus mengatur strategi untuk menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara menerusi pemantapan strategi bagi terus memperkukuh rantaian bekalan tempatan agar dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

 

Penganjuran Forum Ekonomi Sinergi Johor 2024 menampilkan Prof. Dr. Keun Lee, Pensyarah Ekonomi Universiti Nasional Seoul menjadi platform kepada negeri ini mengambil inspirasi daripada model ekonomi yang berjaya menjadikan Korea Selatan sebagai negara maju.

 

Pensyarah yang pernah menjalankan kajian pembangunan ekonomi di Malaysia itu turut menekankan kepentingan Kerajaan Negeri mengembangkan potensi syarikat tempatan untuk menjadi ‘homegrown champions’ seterusnya mencipta impak di pasaran global.

 

Sementara itu, perjanjian bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura yang kini di peringkat akhir serta dijangka akan dimuktamadkan bulan ini, bakal turut melibatkan inisiatif Johor Super Lane (JSL).

 

Inisiatif diumumkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam Belanjawan Johor 2025 itu sedang diperincikan pelaksanaannya melibatkan enam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan zon khas berkenaan bagi memudah cara perniagaan seterusnya menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi Johor.

 

Terdahulu, Forum Ekonomi Sinergi Johor 2024 telah dihadiri oleh Menteri Besar Johor. Turut hadir, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor serta YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor