KEMERIAHAN SOJC 2022 EDISI KE-10 TERUS DIRASAI
ISKANDAR PUTERI — Kemeriahan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2022 berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, terus dirasai setelah memasuki hari ke-empat penganjurannya, hari ini.
Skuad hoki bawah 21 tahun negara dijadualkan bertemu dengan pasukan Great Britain, manakala dua perlawanan lain membabitkan India menentang Australia dan Afrika Selatan bertemu Jepun.
Kejohanan yang bermula pada Sabtu lalu, menyaksikan pasukan kebangsaan masih belum berjaya melakar kemenangan setelah tewas kali ketiga berturut-turut semalam.
Terdahulu, skuad kendalian Muhammad Amin Rahim kecundang kepada India dan Australia seterusnya mencatatkan kekalahan ketiga di tangan Afrika Selatan.
Australia menduduki tangga teratas carta Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2022 Edisi Ke-10 diikuti India dan Afrika Selatan di tempat kedua dan ketiga.
Sementara itu, Great Britain dan Jepun menduduki tangga ke-empat dan ke-lima manakala Malaysia di kedudukan tercorot.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor