SINERGI PASTIKAN AGIHAN BANTUAN BANJIR LANCAR


YB Tan Sri Dato’ Dr. Hj. Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kota Tinggi. | Foto Aisyah Mazlan.

 

#KotaTinggi – Persiapan awal dan rapi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dilihat berjaya memastikan segala bentuk sokongan serta bantuan dapat diagihkan secara teratur dan berkesan.

 

Sinergi itu dapat dilihat menerusi tindakan dan keprihatinan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan yang komited membantu penduduk yang terjejas banjir ketika ini termasuk penglibatan daripada Southern Volunteers (SV) dan Johor Volunteer Forces (JVF) yang turut bersama menyumbang tenaga membantu mangsa banjir.

 

Selain itu, kerjasama daripada penduduk yang terjejas banjir turut memainkan peranan penting dalam memastikan operasi pemindahan dapat dilaksanakan dengan lancar dan lebih sempurna.

 

Bagi individu atau ketua keluarga yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pula dinasihatkan untuk memberikan kerjasama yang baik bagi memudahkan urusan pendaftaran serta pengagihan pelbagai jenis bantuan seperti kotak makanan, kit kebersihan diri serta sumbangan wang tunai.

 

Sehingga jam 8 malam ini, sebanyak 33 PPS telah dibuka yang menempatkan seramai 2,524 penduduk daripada 722 keluarga. Hujan lebat berterusan sejak semalam telah menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kota Tinggi, Kulai, Kluang, Pontian dan Johor Bahru mula dinaiki air.

 

Terdahulu, YB Tan Sri Dato’ Dr. Hj. Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor telah mengadakan lawatan ke beberapa PPS yang dibuka, termasuk PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kota Tinggi; PPS Dewan Raya Kg Makam, Kota Tinggi; PPS Dewanraya Kg Baku Sengkang, Kulai dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Melayu Raya, Pontian.

 

Turut serta dalam lawatan itu ialah YB Dato’ Hj. Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan); YBhg. Tuan Haji Miswan Yunus, Pegawai Daerah Kota Tinggi; YBhg. Tuan Hj. Kamalludin Hj. Jamal, Pegawai Daerah Pontian dan YBhg. Encik Fizwan Dato’ Hj. Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor