KERAJAAN JOHOR CAKNA KEPERLUAN FASILITI KESIHATAN
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus komited meningkatkan kualiti kemudahan perubatan dan memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di negeri ini dalam usaha memenuhi keperluan rakyat serta menjaga kebajikan petugas barisan hadapan.
Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM10.76 juta diperuntukkan dalam Belanjawan Johor 2025 sekali gus mencerminkan keprihatinan dan komitmen yang tinggi Kerajaan Negeri untuk meningkatkan keselesaan dan kecekapan fasiliti kesihatan termasuk di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Daripada jumlah berkenaan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM700,000 untuk menaik taraf surau, tandas untuk kemudahan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) serta menambah baik sistem bekalan elektrik, pencegahan kebakaran dan penghawa dingin yang dijangka siap hujung Februari ini.
Selain itu, projek Hospital Pasir Gudang melibatkan kos RM375.5 juta yang bakal beroperasi pada bulan Mac ini, berada di fasa akhir kerja pembinaan oleh kontraktor sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga pada Februari ini.
Pengoperasian hospital dilengkapi 304 katil dan 14 perkhidmatan pakar secara berperingkat itu bagi memastikan kelancaran perkhidmatan serta kesediaan kemudahan perubatan berada pada tahap optimum sekali gus bakal memanfaatkan kira-kira dua juta penduduk sekitar Johor Bahru khususnya Pasir Gudang.
Kerjasama erat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan juga membolehkan tiga fasiliti klinik kesihatan (KK) baharu siap dibina pada tahun ini iaitu KK Taman Cendana, KK Segamat dan KK Bandar Kota Tinggi selain perancangan bina baharu KK Parit Raja serta KK Bandar Kluang.
Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru
#HospitalSultanahAminah
#HospitalPasirGudang
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor