KERAJAAN NEGERI TINGKAT KOMPETENSI GURU SRBJ


Foto Aznan Tamin

 

#IskandarPuteri – Menjelang sesi persekolahan baharu tahun 2025/2026 bermula 17 Februari ini, Kerajaan Negeri menghantar guru, Guru Besar dan Pengetua Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) ke Singapura pada Isnin lalu.

 

Kira-kira 30 warga pendidik menjalani latihan modul Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara berperingkat bagi menerima pendedahan mengenai pendekatan pengajaran lebih inovatif di Institut Pendidikan Nasional (NIE) Singapura.

 

Delegasi empat sekolah terpilih untuk SRBJ itu telah didedahkan kepada tiga pendekatan utama iaitu Program Pembelajaran Terapan (ALP) yang memberi penekanan kepada pengalaman dunia nyata untuk membina pemikiran kritis dan inovasi.

 

Warga pendidik terlibat turut diberikan pendedahan kaedah pembelajaran lebih dinamik dan berkesan menerusi cara kerja berkumpulan dan pemupukan kemahiran kepimpinan pelajar menerusi Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL).

 

Selain itu, mereka juga didedahkan mengenai teknik moden Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta pendekatan inovatif dalam STEM dan Bahasa Inggeris selain mempelajari sistem peminjaman buku secara digital.

 

Inisiatif sebagai persediaan sebelum bermulanya SRBJ untuk sesi persekolahan baharu itu secara tidak langsung menjadikan sistem pendidikan di negeri ini bertaraf antarabangsa sekali gus membentuk generasi muda berdaya saing.

 

#SekolahRintisBangsaJohor
#RevolusiPendidikanJohor
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor