JOHOR BERSIH TERBUKTI BERI IMPAK POSITIF


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor menyertai kira-kira 5,000 peserta pada program Southern Volunteers Go Green @ Johor Bersih Peringkat Negeri Johor di Kampung Bakar Batu, Sungai Tebrau. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Johor Bersih dilancarkan sejak Julai 2022 berjaya membuahkan hasil positif terutama meningkatkan kesedaran dan usaha pemuliharaan sungai di negeri ini sekali gus mencerminkan agenda berkenaan bukan sekadar slogan atau tindakan bersifat ‘one-off’ semata-mata.

 

Menerusi agenda penting tersebut, sebanyak 14 sungai yang tercemar di Johor telah dikurangkan kepada sembilan sungai setakat ini atas komitmen ditunjukkan pelbagai pihak dengan menggembleng tenaga secara bersama demi memulihara dan menjaga kebersihan sungai.

 

Agenda transformasi sungai terus dijayakan menerusi peruntukan RM7 juta daripada Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Johor 2025 bagi mengatasi pencemaran Sungai Skudai, Sungai Tebrau dan Sungai Kim Kim melibatkan penguatkuasaan undang-undang, penggunaan teknologi moden serta program pemulihan ekosistem sungai.

 

Bangsa Johor diseru agar lebih peka dan memiliki kesedaran tinggi seterusnya bersama dengan jabatan dan agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan kebersihan serta kelestarian alam sekitar sentiasa terjaga demi generasi akan datang.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor menyertai kira-kira 5,000 peserta pada program Southern Volunteers Go Green @ Johor Bersih Peringkat Negeri Johor di Kampung Bakar Batu, Sungai Tebrau.

 

Turut hadir, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor; YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor serta YB Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia Sukarelawan).

 

#SVGoGreen
#JohorBersih
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor