HAB MAKANAN HALAL PERTAMA PARIS BAGUETTE DIBUKA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian pembukaan Hab Makanan Halal Serantau Paris Baguette di Nusajaya Tech Park. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Pembukaan rasmi hab makanan halal Paris Baguette, rangkaian bakeri terkenal antarabangsa melibatkan pelaburan RM130 juta oleh SPC Group dari Korea Selatan di negeri ini, mengukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan primer dan ideal.
Pembangunan fasiliti canggih dilengkapi tujuh barisan pengeluaran berkapasiti 100 juta produk bakeri setahun itu bukan sahaja memperkukuhkan rantaian bekalan Paris Baguette di rantau ini malah membuktikan komitmen dalam menjaga kualiti dan keselamatan makanan sekali gus mematuhi standard pensijilan halal Malaysia.
Pembukaan hab halal pertama berkenaan juga secara tidak langsung menyediakan kira-kira 100 peluang pekerjaan buat warga tempatan selain meletakkan Johor sebagai pemain utama industri perkhidmatan dan produk halal global dengan nilai pasaran dijangka mencecah USD3 trilion.
Lokasi strategik fasiliti di dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut membolehkan Paris Baguette untuk mengembangkan pasaran ke Asia Tenggara, Timur Tengah dan seluruh dunia sekali gus memenuhi permintaan global bagi produk bakeri halal berkualiti tinggi.
Sementara itu, Johor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM48.5 bilion pada tahun 2024 meningkat daripada RM43.1 bilion tahun sebelumnya seperti diumumkan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA).
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian pembukaan Hab Makanan Halal Serantau Paris Baguette di Nusajaya Tech Park, hari ini. Hadir sama, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.
#WTN
#ParisBaguette
#ParisBaguetteJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor