JOHOR PERUNTUK RM18 JUTA BANTUAN HARI RAYA AIDILFITRI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyantuni keluarga asnaf sempena Program Belanja Dapur Asnaf di Simpang Renggam. | Foto Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan sebanyak RM18 juta bagi Bantuan Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang dilihat bakal memberi manfaat dan meringankan beban kira-kira 88,000 penerima di seluruh negeri ini.
Bantuan tersebut dijangka memberi kelegaan kepada 6,911 ketua keluarga fakir yang masing-masing akan menerima RM500 dan 30,987 ketua keluarga miskin (RM400), selain setiap tanggungan turut menerima bantuan RM50.
Selain itu, bantuan sebanyak RM3.6 juta akan disalurkan bagi membantu kira-kira 12,000 penerima yang layak dengan nilai sebanyak RM300 kepada setiap keluarga untuk tujuan membeli barangan keperluan harian, sekali gus mencerminkan iltizam Kerajaan Negeri dalam berusaha menjamin kesejahteraan rakyat.
Kerajaan Johor juga komited untuk terus memperkasakan agenda kebajikan rakyat agar tiada golongan terpinggir dalam arus pembangunan negeri dengan memastikan setiap ringgit yang dikeluarkan oleh pembayar zakat kepada MAINJ akan digunakan sepenuhnya bagi membantu mereka yang memerlukan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyantuni keluarga asnaf sempena Program Belanja Dapur Asnaf di Simpang Renggam bagi membantu golongan memerlukan mendapat keperluan asas sempena Ramadan dan kehadiran Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi.
#BelanjaDapurAsnaf
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor