MANGSA BANJIR TERIMA BANTUAN KHAS RM3,000 HARI INI


YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor melakukan tinjauan proses penyampaian Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir MTL Gelombang Kelima yang berlangsung di Dewan Pejabat Daerah Kulai. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#Kulai – Kerajaan Negeri mula menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima berjumlah keseluruhan RM11.2 juta kepada 3,749 Ketua Isi Rumah (KIR) berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) secara serentak membabitkan enam daerah yang terjejas, hari ini.

 

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM1.7 juta disalurkan kepada 575 KIR terjejas di Kulai yang menerima bantuan hasil kerjasama Kerajaan Negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

 

Mengulas mengenai banjir yang berlaku baru-baru ini, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor memaklumkan bencana yang menjejaskan Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Batu Pahat berpunca daripada taburan jumlah hujan lebat luar biasa.

 

Selain itu, jawatankuasa khas untuk melaksana kaedah penyelesaian isu banjir juga akan mengkaji semula pembangunan di sekitar pesisiran Sungai Tebrau dan Sungai Skudai untuk pelaksanaan langkah mitigasi secara lebih efektif memandangkan kebanyakan kawasan yang terjejas banjir terletak berhampiran dua sungai terbabit.

 

Dalam perkembangan lain, sebanyak 16 yayasan di bawah PBT di Negeri Johor dijangka menyalurkan bantuan berjumlah keseluruhan RM1.13 juta yang akan memanfaatkan 6,940 KIR dalam kalangan golongan yang memerlukan terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

 

Terdahulu, Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Bukit Permai bersama YBhg Encik Fizwan Dato’ Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai melakukan tinjauan proses penyampaian Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir MTL Gelombang Kelima yang berlangsung di Dewan Pejabat Daerah Kulai.

 

#BantuanKhasBanjir
#DoaUntukJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor