KLINIK KESIHATAN GELANG PATAH KINI LEBIH SELESA


YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Aset Perubatan dan bukan Perubatan kepada KK Gelang Patah, pada Rabu lalu. | Foto ihsan Facebook AH SOON

 

#IskandarPuteri – Klinik Kesihatan (KK) Gelang Patah kini melalui transformasi ketara hasil usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan perkhidmatan kesihatan lebih selesa dan efisien demi kebajikan serta keselesaan petugas mahupun pelawat.

 

Antara perubahan signifikan fasiliti kesihatan terbabit adalah ruang menunggu dan sistem nombor giliran lebih teratur serta kondusif berbanding terpaksa menunggu di bawah khemah sementara yang uzur seperti sebelum ini.

 

Kesemua perubahan positif itu berjaya dilaksanakan menerusi peruntukan RM4 juta oleh Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Johor 2025 bagi inisiatif Bantuan Menaik Taraf Fasiliti melibatkan yang turut melibatkan KK Majidee, KK Tebrau dan KK Kulai.

 

Hasrat Kerajaan Negeri menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti turut disahut syarikat pusat data terkemuka, Bridge Data Centre yang menyumbang pelbagai peralatan bernilai lebih RM630,000 antaranya mesin ultrabunyi, meja dan kerusi, komputer serta penyaman udara.

 

Selain itu, klinik demam yang sebelum ini terletak di bahagian belakang KK Gelang Patah juga telah dinaik taraf dan kini mempunyai bangunan baharu dengan ruang menunggu pesakit serta jalan berturap di sekitar kawasan.

 

Kerajaan Negeri bakal menyerahkan tiga ambulans kepada KK Gelang Patah, KK Tebrau dan KK Majidee dalam masa terdekat malah terus komited memperkasa sistem kesihatan di negeri ini, agar lebih lengkap, selesa dan berdaya maju demi kesejahteraan rakyat.

 

Terdahulu, YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Aset Perubatan dan bukan Perubatan kepada KK Gelang Patah, pada Rabu lalu.

 

#KlinikKesihatanGelangPatah
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor