KERAJAAN JOHOR, EDUCITY BERGERAK SEIRING FOKUS ISU LEPASAN SPM DAN WANITA


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail bersama warga EduCity | Sumber Facebook Khairin-Nisa Ismail

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor bersama EduCity Iskandar Malaysia bergerak seiring bagi mendepani cabaran melibatkan isu lepasan pelajar Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan wanita dalam pasaran pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, antara inisiatif kerajaan negeri adalah bersama dengan EduCity mempertingkatkan kualiti pendidikan di Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea.

Menurutnya, inisiatif itu melibatkan penyediaan komputer untuk pelajar dan tenaga pekerja, selain menaiktaraf peralatan fisio di sekolah tersebut.

“Pihak EduCity juga bakal menyediakan latihan ‘Upskilling’ dan ‘Reskilling’ dan latihan berkaitan digital bagi meningkatkan mutu dan kualiti pendidikan di sekolah tersebut.

“Saya turut mencadangkan agar pihak EduCity turut menjalinkan kerjasama dan membantu Cerebral Palsy Johor dalam meningkatkan lagi kualiti prasarana dan pendidikan di sekolah tersebut bersama-sama Sekolah Pendidikan Khas Nur Azalea,” katanya selepas mengadakan perbincangan bersama EduCity semalam.

Khairin-Nisa berkata, selain itu, EduCity juga berhasrat membantu golongan wanita menerusi projek yang bakal dilaksanakan iaitu ‘Women, Opportunity and Work’ (WOW).

“Mereka (EduCity) akan memfokuskan golongan sasar kepada usahawan atau menceburi bidang gig seperti penterjemah, pembangunan laman web, freelancer, dan copywriter di mana bidang ini mempunyai peluang untuk memperoleh pendapatan yang tinggi,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak EduCity yang turut memastikan kualiti pendidikan dan pasaran kerjaya di Johor terus meningkat terutama dalam golongan remaja dan belia.

“Saya berharap agar pihak EduCity sentiasa bersama-sama Kerajaan Negeri dalam membantu membentuk modal insan masyarakat terutama kepada rakyat Johor,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor