JOM SAKSIKAN TEATER MUZIKAL KANAK-KANAK PUTERA GUNUNG PANTI


Sesi latihan pementasan TMKKPGP | Sumber YWJ

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ) menganjurkan pementasan Teater Muzikal Kanak-Kanak Putera Gunung Panti (TMKKPGP).

Pementasan teater yang menyaksikan YWJ buat julung kalinya berkolaborasi bersama Kelab Tarian, Warisan dan Teater (SETARI) itu bermula hari ini hingga 29 Oktober ini.

YWJ dalam satu kenyataan memaklumkan TMKKPGP dipentaskan selama tiga hari di Dewan Utama, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar.

Pementasan hari pertama dijadualkan jam 8.30 malam ini, diikuti hari kedua serta ketiga iaitu jam 3 petang dan 8.30 malam pada 28 dan 29 Oktober.

Untuk makluman, TMKKPGP merupakan adaptasi daripada siri nukilan cerita rakyat Putera Gunung Panti yang sinonim dengan daerah Kota Tinggi, dan dipentaskan secara muzikal berkonsepkan tradisional kontemporari.

“Antara objektif utama penganjuran TMKKPGP adalah bagi merakyatkan teater dalam siri cerita rakyat di samping mengetengahkan bakat cilik Johor dalam bidang teater dan seni kreatif.

“TMKKPGP yang bakal berlangsung selama 1 jam 30 minit ini turut mengetengahkan bakat-bakat muda anak Johor seawal usia 7 hingga 17 tahun,” kata kenyataan tersebut.

Selain itu, pementasan teater tersebut juga melibatkan 35 kanak-kanak dan turut dibantu oleh Artis Budaya YWJ.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket pementasan TMKKPGP yang dijual pada harga RM25 (Perak) dan RM35 (Emas) secara dalam talian menerusi https://store.ywj.gov.my/event-ticket.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor