JDT ADA KELEBIHAN MUNCUL JUARA PIALA MALAYSIA

Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat bakal tampil dengan aksi berkualiti dan memiliki kelebihan yang amat jelas menjelang perlawanan akhir saingan Piala Malaysia 2024/2025 menentang Sri Pahang, malam ini.
Berdasarkan rekod prestasi semasa, kekuatan barisan pemain serta percaturan taktikal, skuad kendalian Hector Bidoglio berada dalam kelas tersendiri berbanding lawan mereka apabila berjaya meneruskan momentum cemerlang serta corak permainan matang, lebih tersusun dan mampu menyerap tekanan dari segenap arah, jelas Hasnizam Uzir.
Penganalisis bolasepak tempatan itu juga berpandangan, skuad Harimau Selatan yang dibarisi pemain berpengalaman luas di pentas domestik dan antarabangsa serta memiliki keupayaan teknikal tinggi turut membolehkan JDT bukan sahaja tampil sebagai pasukan pilihan tetapi ‘tahu’ bagaimana untuk muncul sebagai juara.
Kelebihan yang dimiliki JDT turut terserlah apabila mereka juga tidak perlu bergantung kepada seorang individu semata-mata sebaliknya memiliki barisan pemain yang mampu menjaringkan gol dari pelbagai posisi ditambah dengan kehadiran watak penting seperti Juan Muniz di jentera tengah serta gandingan serangan yang efektif memberi pilihan taktikal yang luas buat Bidoglio.
Walaupun memiliki kelebihan, bekas pemain Johor dan kebangsaan itu juga menyarankan agar JDT tidak sesekali memandang rendah keupayaan anak buah Fandi Ahmad yang dijangka menampilkan barisan muda bersemangat tinggi dan bertenaga untuk memberi cabaran buat Harimau Selatan.
Apa pun keputusannya nanti, pentas akhir Piala Malaysia kali ini menjanjikan satu lagi aksi menarik dengan JDT tampil sebagai pasukan paling bersedia, sekali gus semua mata akan tertumpu kepada sejauh mana dominasi Harimau Selatan mampu diterjemah di atas padang malam ini.
#JDTvSRP
#UnifiPialaMalaysia
#LigaMalaysia
#TMJEffect
#Chapter2
#JDT
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor