JCA MAHU CUNGKIL BAKAT DARI AKAR UMBI

Hari Terbuka Akademi Kriket Johor 2025 yang berlangsung di Dato’ Dr. Harjit Singh Johor Cricket And Oval, Mutiara Rini. | Foto Akademi Kriket Johor

 

#IskandarPuteri – Akademi Kriket Johor (JCA) kini mengorak langkah dengan membina program latihan berstruktur yang menyasarkan pencarian dan pembangunan bakat muda di peringkat akar umbi dan seterusnya mencipta pemain berkaliber dalam sukan itu pada masa akan datang.

 

Usaha serta sasaran yang diperkenalkan secara menyeluruh itu diumum secara rasmi sempena Hari Terbuka Akademi Kriket Johor 2025 yang berlangsung di Dato’ Dr. Harjit Singh Johor Cricket And Oval, Mutiara Rini, baru-baru ini.

 

Program latihan itu kelak akan ditawarkan dan disesuaikan mengikut peringkat umur dan keupayaan pemain dengan turut meliputi aspek teknikal, kecergasan fizikal, kekuatan mental serta pembinaan karakter sebagai seorang atlet kriket profesional.

 

Bagi memperkuatkan lagi usaha tersebut, pihak akademi ketika ini juga sedang aktif menjalinkan kerjasama dengan pelbagai institusi kriket dalam dan luar negara untuk membuka lebih banyak ruang pendedahan kepada pelatih dan pihak pengurusan.

 

Langkah awal yang dilaksanakan ini selari dengan visi jangka panjang akademi untuk menjadikan Akademi Kriket Johor antara pusat latihan kriket terbaik di rantau ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

JCA merupakan sebahagian daripada program akar umbi Majlis Kriket Johor iaitu Cricket4U untuk mendekati belia dari pelbagai latar belakang dan membawa sukan kriket ke peringkat sekolah, universiti dan komuniti di seluruh Johor.

 

Turut hadir YB Dato’ Pandak Ahmad, Ahli Dewan Negeri Kota Iskandar; Encik Gordon Chung, Timbalan Presiden Persatuan Kriket Malaysia dan YBhg. Professor Ts. Dr. Faidz Abd Rahman, Presiden Majlis Kriket Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor