JOHOR PERKUKUH EKONOMI BERTERASKAN TEKNOLOGI DAN INOVASI

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian Persidangan Antarabangsa Teknologi, Pengurusan dan Pembangunan Perniagaan (ICTMBE) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Kerajaan Negeri teguh dengan komitmen menjadikan Johor sebagai hab ekonomi serantau yang mampan, berdaya saing dan inklusif sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa ekonomi utama negara.
Untuk menjayakan hasrat tersebut, Kerajaan Negeri mengangkat agenda inovasi dan teknologi sebagai teras pertumbuhan bagi merealisasikan aspirasi negeri maju menjelang tahun 2030 yang menjadi pemacu utama daya saing negara di peringkat global.
Setakat April lalu, sebanyak RM27.4 bilion pelaburan diluluskan yang direkodkan menerusi dasar mesra pelabur dan program inovasi membabitkan sektor strategik seperti farmaseutikal, teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), pembuatan dan semikonduktor.
Selain itu, Johor juga mempercepat usaha pembangunan ekonomi digital menerusi inisiatif berimpak tinggi seperti memperluas liputan internet dan meningkatkan tahap literasi digital yang memacu negeri ke arah ekonomi berasaskan data.
Dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri terutama sektor berimpak tinggi, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperluaskan di samping peranan penting dimainkan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).
Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada agenda kelestarian menerusi inisiatif Bandar Pintar dan Johor Green Deal yang menekankan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta sokongan penuh terhadap pembangunan hijau dan mampan.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian Persidangan Antarabangsa Teknologi, Pengurusan dan Pembangunan Perniagaan (ICTMBE) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), hari ini.
Hadir sama, YBhg. Prof Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM dan YBhg. Datuk Md Jais Sarday, Ahli Lembaga Pengarah UTHM.
#ICTMBEUTHM
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor