JOHOR KUKUH SEBAGAI DESTINASI PELABURAN UTAMA NEGARA

Menerusi penubuhan JS-SEZ, sektor berimpak tinggi yang diberikan tumpuan oleh negeri ini memperkukuhkan lagi integrasi ekonomi rentas sempadan di samping menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi. | Foto Hiasan

 

#IskandarPuteri – Johor terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelaburan ideal dan strategik negara menerusi sinergi antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Johor serta Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J).

 

Selain menghubungkan pelabur dengan pihak kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan, MIDA Johor memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran proses pelaburan dengan memberi sokongan menyeluruh dari peringkat awal perancangan sehingga pelaksanaan projek.

 

Penubuhan IMFC-J di Forest City juga akan memudahkan urusan para pelabur mendapatkan kelulusan dan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi berkaitan dengan kemudahan pelaburan di bawah satu bumbung terutamanya dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Menerusi penubuhan JS-SEZ, sektor berimpak tinggi yang diberikan tumpuan oleh negeri ini memperkukuhkan lagi integrasi ekonomi rentas sempadan di samping menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.

 

Pelaburan di negeri Johor juga terus mencatatkan angka yang memberangsangkan apabila sejumlah RM48.5 bilion telah diluluskan pada tahun 2024, sekaligus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi besar dan kemajuan pesat JS-SEZ sebagai destinasi pelaburan utama.

 

Lokasi strategik berdekatan Singapura diikuti infrastruktur fizikal dan digital yang kukuh, dasar Kerajaan Negeri yang mesra perniagaan serta ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi juga terus menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan mampan.

 

Selain itu, pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi Johor (JETP) pula dijangka akan memperkasakan lagi profil pelaburan Johor sebagai hab pembuatan dan pengeluaran bernilai tinggi menjelang tahun 2030 seterusnya melonjak kedudukan Johor sebagai kuasa besar ekonomi baharu di Malaysia.

 

 

#WTN
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor