CKLAMOVSKI PUJI FASILITI BERKELAS DUNIA JDT

Peter Cklamovski, pengendali Harimau Malaya menjadikan pusat latihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Padang Seri Gelam sebagai pilihan utama untuk mempersiapkan diri menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027, Jun ini. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Kualiti padang bertaraf antarabangsa, fasiliti latihan serba moden dan suasana yang kondusif menjadi faktor pilihan Peter Cklamovski, pengendali Harimau Malaya menjadikan pusat latihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Padang Seri Gelam sebagai pilihan utama untuk mempersiapkan diri menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027, Jun ini.

 

Pemilihan Johor Bahru sebagai lokasi latihan berintensiti tinggi skuad negara selama seminggu itu disifatkan jurulatih kelahiran Australia bukan sahaja pilihan yang tepat tetapi turut mendapat dokongan dan sokongan padu dari Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik JDT.

 

Cklamovski turut mengiktiraf kemudahan yang disediakan JDT berada pada kelasnya tersendiri dan menganggap pasukan Harimau Malaya amat bertuah dapat menggunakan fasiliti terbaik selain menghargai serta mengiktiraf sokongan tidak berbelah bahagi dizahirkan oleh Pemangku Sultan Johor.

 

Sementara itu, pemain tengah berpengaruh negara, Nooa Laine dan tonggak pertahanan, Harith Haiqal, berpuas hati dan gembira kerana diberi peluang untuk bersama skuad kebangsaan serta menjalani latihan di pusat latihan serba lengkap dan berharap dapat berlatih sebaiknya bagi mendapatkan prestasi optimum menjelang aksi persahabatan menentang Cape Verde dan aksi sebenar kelayakan Piala Asia 2027, Vietnam di Kuala Lumpur kelak.

 

Skuad Harimau Malaya kini sedang menjalani latihan di Johor Bahru bermula semalam sehingga 26 Mei ini, sebelum kembali berlatih semula di Kuala Lumpur selama dua hari seterusnya dijadualkan menentang Cape Verde bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di sana pada 29 Mei ini.

 

#WTN
#TMJ
#HarimauMalaya
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor