PINJAMAN PENDIDIKAN YPJ BERI KELEGAAN KEPADA MAHASISWA JOHOR

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor diiringi YBhg. Tuan Suhairi Hashim, Pengurus Besar YPJ menyantuni Ariq Aidiel Kamarudin, penerima Skim Pinjaman Pelajaran Sesi 1/2025 di Taman Kota Masai. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#PasirGudang – Galakan daripada kakak yang pernah menerima pinjaman pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) mendorong Ariq Aidiel Kamarudin, 20, untuk memilih inisiatif berkenaan bagi membiayai pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.
Pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Univerisiti Teknologi Malaysia (UTM) itu juga memilih untuk memohon pinjaman pendidikan YPJ kerana pinjaman berkenaan yang ditawarkan adalah tanpa caj faedah.
Selain menzahirkan rasa syukur, Ariq akui pinjaman itu dapat meringankan beban kewangan dan dirinya akan lebih fokus kepada pelajaran berbanding sebelum ini yang bekerja sambilan setiap minggu untuk menambah perbelanjaan sendiri.
Untuk rekod, seramai 155 mahasiswa nak Johor dari keluarga kurang berkemampuan menerima Skim Pinjaman Pelajaran Sesi 1/2025 daripada Kerajaan Negeri melalui YPJ melibatkan peruntukan berjumlah keseluruhan sebanyak RM561,500.
Pinjaman pelajaran yang ditawarkan oleh YPJ itu bersifat boleh ubah di mana jika mahasiswa mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.50 ke atas secara automatik bertukar menjadi biasiswa penuh selain tidak mengenakan faedah kepada peminjam.
Untuk tahun 2025, sebanyak RM18 juta diperuntukkan untuk Skim Pinjaman Pelajaran YPJ bagi memastikan kira-kira 5,000 mahasiswa dari seluruh negeri ini, dapat melanjutkan pelajaran tanpa dibebani masalah kewangan.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor diiringi YBhg. Tuan Suhairi Hashim, Pengurus Besar YPJ menyantuni Ariq Aidiel Kamarudin, penerima Skim Pinjaman Pelajaran Sesi 1/2025 di Taman Kota Masai, hari ini.
#PendidikanInklusif
#OrangMudaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor