KERAJAAN JOHOR PERMUDAH PEMBIAYAAN RUMAH MAMPU MILIK

Program Mega Johor Housing One Stop Center (J-Home OSC) RMMJ Daerah Johor Bahru dirasmikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Komitmen Kerajaan Johor dalam memastikan rakyat di negeri ini memiliki kediaman mampu milik terus diperkukuh menerusi inisiatif J-Home One Stop Center, sebuah pusat sehenti yang diwujudkan khusus bagi memudahkan segala urusan berkaitan pembelian Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

 

Inisiatif J-Home One Stop Center ini bertujuan untuk memastikan setiap proses pembelian rumah mampu milik ini dapat berjalan dengan lebih cekap dan sistematik, selain membantu rakyat membuat bayaran minimum sebanyak RM30 bagi proses permohonan serta tidak lagi perlu menanggung sebarang kos tambahan sehingga mereka menerima Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR).

 

Inisiatif tersebut juga turut membolehkan permohonan RMMJ merekodkan permintaan tinggi apabila sebanyak 24,000 permohonan diterima secara dalam talian, dengan kira-kira 10,000 daripadanya layak untuk dipertimbangkan, manakala 900 unit rumah telah ditawarkan kepada pembeli melibatkan empat projek utama yang sedang dilaksanakan.

 

Selain itu, inisiatif yang digerakkan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) itu juga turut menyediakan kemudahan sokongan pembiayaan termasuk Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi mereka yang tidak mempunyai penyata gaji tetap serta perkhidmatan nasihat kewangan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

 

Sejak pelaksanaan inisiatif ini dari Mac 2022 hingga Mei tahun ini, sebanyak 84,222 permohonan telah diterima di seluruh Negeri Johor, di mana 65,922 pemohon berjaya melepasi tapisan kelayakan, manakala seramai 7,130 penerima telah pun menerima SLMR masing-masing.

 

Dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan pengurangan birokrasi pembelian rumah, Johor terus memperkukuh peranannya sebagai negeri yang proaktif dalam memastikan agenda perumahan rakyat dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk memiliki kediaman sendiri.

 

Terdahulu, Program Mega Johor Housing One Stop Center (J-Home OSC) RMMJ Daerah Johor Bahru dirasmikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Jumaat turut menyaksikan seramai 902 penerima menerima SLMR masing-masing melibatkan projek perumahan yang dibangunkan empat pemaju utama iaitu Eco World, SP Setia, Country View dan Scientex.

 

#RumahMampuMilikJohor
#JHomeOneStopCentre
#RMMJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor