242 UNIT RESIDENSI BANGSA JOHOR DIBINA DI PARIT JAWA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor meninjau tapak projek pembangunan Residensi Bangsa Johor di Parit Jawa, Muar. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor supaya lebih banyak rumah mampu milik dibina di seluruh negeri ini, termasuk inisiatif terbaharu iaitu Residensi Bangsa Johor di Parit Jawa, Muar.

 

Projek pembangunan yang merupakan sebahagian inisiatif dalam menyediakan rumah mampu milik untuk Bangsa Johor itu akan bermula pada September 2025 dan dibuka untuk penawaran kepada rakyat Johor mulai awal tahun 2026.

 

Melibatkan pembinaan sebanyak 242 unit rumah teres satu tingkat, setiap kediaman berkeluasan antara 800 hingga 900 kaki persegi yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur serta dua bilik air berharga RM100,000 dan RM150,000.

 

Diberikan keutamaan kepada penduduk di Muar, tapak projek itu terletak di kawasan strategik berhampiran kemudahan awam seperti klinik, sekolah dan masjid dengan jarak hanya sekitar dua kilometer dari pekan Parit Jawa.

 

Selain rumah kediaman, projek berkenaan turut menyediakan kemudahan komuniti seperti surau dan dewan terbuka demi membina persekitaran hidup yang harmoni dan sejahtera sekali gus memenuhi keperluan asas rakyat.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor meninjau tapak projek pembangunan Residensi Bangsa Johor di Parit Jawa, Muar, Sabtu lalu.

 

#ResidensiBangsaJohor
#RMMJ
#Muar
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor