PENDEKATAN INKLUSIF TINGKATKAN MUTU PERKHIDMATAN HSAJB

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor menyantuni petugas kesihatan dan pesakit serta meninjau pengoperasian HSAJB. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Kerajaan Negeri terus memperkukuh pendekatan ‘whole-of-government’ dalam meningkatkan perkhidmatan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB), antara fasiliti kesihatan tersibuk di Malaysia.
Pendekatan itu melibatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan agensi sokongan lain bagi memastikan usaha untuk menaik taraf infrastruktur serta sistem perkhidmatan hospital berjalan lancar.
Kerjasama dengan NGO antaranya membolehkan HSAJB yang menerima lebih 2,000 pesakit setiap hari menerima penambahan aset meliputi sumbangan berupa katil, tilam dan ambulans ‘recond’ sekali gus dilihat sebagai penyelesaian praktikal menjimatkan kos.
Kerajaan Negeri turut melihat keperluan tambahan doktor secara lokum di Jabatan Kecemasan untuk memastikan bilangan tenaga pakar tersebut adalah mencukupi untuk pengendalian beban tugas secara lebih efisien dijangka bermula seawal minggu hadapan.
Perkhidmatan Klinik Bergerak Waqaf An-Nur juga diperluaskan untuk rawatan ringan seperti demam dan selesema pada hari Rabu hingga Ahad yang membantu mengurangkan kesesakan serta waktu menunggu di Jabatan Kecemasan.
Selain itu, Kerajaan Negeri telah menyediakan tempat letak kereta percuma di kawasan lapang Pantai Lido bagi mengatasi kekurangan kemudahan itu di samping kini sedang menunggu laporan akhir projek pembinaan kompleks parkir bertingkat.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor menyantuni petugas kesihatan dan pesakit serta meninjau pengoperasian HSAJB, hari ini.
#PenjagaanKesihatan
#HSAJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor