JOHOR KUKUH PERANAN SEBAGAI HAB DIGITAL ASEAN

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri bersama YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyaksikan pertukaran MoU antara Invest Johor dengan NEOJapan yang disempurnakan oleh YBhg. Tuan Natazha Harris, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor dan YBrs. Akinori Saito, Presiden NEOJapan.. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Johor terus melangkah ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi untuk muncul sebagai hab digital ASEAN menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri melalui Invest Johor bersama NEOJapan Inc. (NEOJapan), syarikat teknologi terkemuka dari Jepun.
Melalui kerjasama tersebut, NEOJapan akan membangunkan Pusat Kecemerlangan Asia Tenggara dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sekali gus bakal menjadi pusat tumpuan pembangunan inovasi digital dan bakat berteknologi tinggi.
Pusat tersebut itu akan menyediakan latihan kepada lebih 1,000 bakat tempatan dalam bidang dan teknologi infrastruktur awan selain sokongan teknologi maklumat (IT) pelbagai bahasa serta pembangunan perisian tanpa kod.
Di samping itu, pembangunan pusat berkenaan turut dijangka mewujudkan 300 pekerjaan berkemahiran tinggi di Johor yang selari dengan hasrat Kerajaan Negeri mewujudkan 20,000 peluang kerjaya berpendapatan tinggi sebagai sasaran utama yang telah bermula secara berfasa bermula tahun ini.
NEOJapan, syarikat berpangkalan di Yokohama itu akan bertindak sebagai rakan strategik utama dalam pembangunan aplikasi berasaskan awan dan penyelesaian transformasi digital yang mampu menjadikan JS-SEZ pemangkin utama pembangunan ekonomi digital Johor.
Terdahulu, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri bersama YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyaksikan pertukaran MoU antara Invest Johor dengan NEOJapan yang disempurnakan oleh YBhg. Tuan Natazha Harris, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor dan YBrs. Akinori Saito, Presiden NEOJapan.
#NikkeiForumMedini
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor