NIKKEI FORUM MEDINI BUKA LEMBARAN BAHARU LANDSKAP EKONOMI JOHOR

Iskandar Investment Berhad (IIB) juga telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Nikkei Business Publication (BP) Intelligence Group dan Nikkei BP Inc., bagi menzahirkan komitmen bersepadu dalam menganjurkan lebih banyak siri dialog serantau dan program inovasi pada hari terakhir Nikkei Forum Medini Johor 2025, pada Khamis. | Foto MDJ Wira Anggara.

 

#IskandarPuteri – Penganjuran Nikkei Forum Medini Johor 2025 bukan sahaja sekadar acara berprofil tinggi tetapi telah berjaya membuka lembaran baharu dalam landskap ekonomi Johor, sekali gus mampu membantu merealisasikan agenda Maju Johor 2030.

 

Forum antarabangsa yang turut dihadiri lebih daripada 500 pemimpin ekonomi dari Malaysia, Jepun dan Asia Tenggara secara tidak langsung memperkukuh kedudukan Medini sebagai pemacu utama inovasi, pelaburan strategik dan kerjasama serantau dalam usaha memacu ekonomi negeri ke arah lebih mampan, inklusif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

 

Antara topik yang dibicarakan pada forum berkenaan ialah transformasi digital, teknologi kewangan, pelaburan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), kelestarian dan kerjasama rentas sempadan. Ia secara tidak langsung menterjemah kesediaan Johor untuk menerima gelombang baharu pelaburan bernilai tinggi dalam sektor berkenaan.

 

Menerusi pembangunan infrastruktur canggih, ekosistem perniagaan yang matang dan dasar yang proaktif serta mesra pelabur, Johor kini bersedia untuk muncul sebagai hab ekonomi inovasi yang berupaya menyumbang secara langsung kepada kemakmuran serantau.

 

Pewujudan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang kini telah menarik minat dan penyertaan aktif syarikat pelabur dari Jepun telah membuktikan keyakinan dari negara matahari terbit itu terhadap keupayaan Johor dan Medini sebagai pintu masuk strategik ke pasaran Asia Tenggara.

 

Nikkei Forum Medini Johor 2025 juga turut merintis pelbagai projek strategik, dasar progresif dan kerjasama serantau dalam tempoh jangka masa panjang, sekali gus memperkukuh usaha Johor dalam usaha melakar sejarah memacu pertumbuhan ekonomi serantau ke arah yang lebih mampan dan kompetitif.

 

Terdahulu, Iskandar Investment Berhad (IIB) juga telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Nikkei Business Publication (BP) Intelligence Group dan Nikkei BP Inc., bagi menzahirkan komitmen bersepadu dalam menganjurkan lebih banyak siri dialog serantau dan program inovasi pada hari terakhir Nikkei Forum Medini Johor 2025, pada Khamis.

 

#NikkeiForumMedini
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor