MEMBANGUNKAN RANTAIAN BEKALAN MAKANAN MAMPAN DAN MODEN

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sekuriti Makanan Negeri Johor (JSMNJ) Bil. 2/2025 di Kota Iskandar. | Foto Zahari Sarip.

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri agresif melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif bagi memastikan rantaian bekalan makanan lebih mampan dan moden sekali gus memperkasa sosioekonomi petani, penternak dan nelayan di negeri ini.

 

Antara usaha dan inisiatif digerakkan adalah membangunkan infrastruktur, memperluas aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), melaksanakan insentif bersasar kepada pengusaha tani serta memperkukuh eksport produk pertanian berpotensi.

 

Selain itu, program latihan dan bimbingan teknikal dengan menerapkan teknologi pertanian moden diberi keutamaan demi meningkatkan produktiviti serta kualiti hasil pertanian khususnya di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Dalam Belanjawan Johor 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM68 juta bagi memperkasa pembangunan sektor pertanian dan turut disokong peruntukan berjumlah RM23.4 juta oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai tambahan pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi.

 

Kerajaan Negeri berkeyakinan pendekatan bersepadu pelbagai jabatan dan agensi negeri mahupun persekutuan juga mampu mengekalkan status Johor sebagai peneraju pertanian negara serta berpotensi menjadi pemain utama pasaran eksport serantau dan antarabangsa.

 

Untuk rekod, kedudukan Johor sebagai peneraju utama sektor pertanian negara telah diterjemah menerusi nilai jualan mencecah RM27.2 bilion berdasarkan dapatan interim Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada minggu lalu.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sekuriti Makanan Negeri Johor (JSMNJ) Bil. 2/2025 di Kota Iskandar, semalam.

 

#WTN
#JohorFoodSecurity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor