KAMPUNG PARIT KEROMA, SKPK MUAR DIPILIH KAMPUNG SERTA SEKOLAH ANGKAT MADANI

Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Masjid Jamek Al-Husna, Parit Keroma, Muar. | Foto JKKP 

 

#IskandarPuteri – Kampung Parit Keroma dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Muar, dekat Muar dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI serta Sekolah Angkat MADANI di bawah seliaan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

 

Bagi memastikan pelbagai program dirancang dapat dilaksanakan, peruntukan sebanyak RM1.1 juta telah disalurkan oleh kerajaan sekali gus menjayakan inisiatif yang dilancarkan sebagai penanda aras terbaik dalam meningkatkan capaian liputan kemudahan asas kepada masyarakat melalui pendekatan ‘Whole-of-Government’.

 

Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI bertujuan merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar, melengkapkan kemudahan asas desa terpinggir serta mengenal pasti kaedah penyelesaian terbaik bagi sebarang permasalahan yang timbul.

 

Untuk rekod, JKKP memulakan penganjuran program seumpama itu menerusi Program Santuni MADANI di Kampung Parit Keroma sejak tahun 2024 dengan enam program komuniti yang telah berjaya dilaksanakan bersama penduduk kampung.

 

Selain itu, Ibu Pejabat JKKP dengan kerjasama JKKP Johor juga sudah menjayakan Program Turun Padang bersama wakil agensi dan masyarakat setempat selain mengenal pasti 22 penambahbaikan kemudahan asas dengan pelaksanaannya bermula Jun hingga Oktober ini.

 

Terdahulu, berlangsungnya Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Masjid Jamek Al-Husna, Parit Keroma, Muar yang disempurnakan oleh YBrs. Ir. Mohd Hatta Zakaria, Ketua Pengarah JKKP.

 

#WholeOfGovernment
#Muar
#JKKP
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor