OCBC GROUP ZAHIR KOMITMEN UNTUK BERSAMA PACU JS-SEZ

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama OCBC Group. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – OCBC Group, salah satu institusi kewangan terkemuka Asia menzahirkan komitmen teguh untuk menyokong pelaburan, pembiayaan dan pengembangan perniagaan dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Dengan rangkaian operasi yang luas merangkumi Asia Tenggara, Greater China dan pasaran antarabangsa, OCBC Group bersedia menjadi jambatan penting menghubungkan Johor dengan pelabur serta pemain industri global.

 

OCBC Group yang kini mempunyai hampir 400 pekerja di negeri ini turut merancang mewujudkan lebih 400 peluang pekerjaan baharu khususnya untuk graduan tempatan dengan gaji permulaan antara RM3,200 hingga RM3,600 selari aspirasi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).

 

Selain itu, OCBC Group bersedia menyokong pertumbuhan sektor-sektor utama seperti logistik, pembuatan, infrastruktur, fintech dan ekonomi digital menerusi kepakaran dalam pembiayaan rentas sempadan, pengurusan kekayaan serta transformasi digital.

 

Kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan OCBC Group dilihat bukan sahaja membuka peluang pelaburan dan membentuk ekosistem ekonomi lebih mampan, inklusif serta berdaya saing malah menjadi strategi jangka panjang melonjakkan Johor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi serantau yang dipacu oleh inovasi, bakat dan pelaburan bernilai tinggi.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama OCBC Group bagi meneroka ruang kerjasama strategik dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi Johor khususnya melalui JS-SEZ.

 

#OCBCGroup
#WTN
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor