KERAJAAN NEGERI KOMITED PASTIKAN KELANGSUNGAN SEKTOR PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN

Kerajaan Johor komited memastikan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negeri terus rancak dan berdaya saing. | Foto arkib MDJ
#JohorBahru – Kerajaan Negeri komited dalam memastikan sektor pertanian dan keterjaminan makanan di negeri ini terus rancak hasil limpahan manfaat daripada pembangunan negeri terutama melalui pewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Komitmen berkenaan diterjemah menerusi pendekatan inklusif yang sedang digerakkan agar sektor berkenaan kekal berdaya saing antaranya siri bengkel dan sesi libat urus dilaksanakan Jabatan Pertanian Negeri Johor bagi mengumpul pandangan pakar serta pemain industri pertanian.
Fokus utama bengkel ialah membincangkan kaedah dan mencari titik penyelesaian untuk memastikan kelangsungan serta kemajuan sektor tersebut dalam ekosistem JS-SEZ yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan baharu buat negeri pada masa akan datang.
Kerajaan Negeri turut meneliti cadangan agar insentif khas ditawarkan kepada pelabur yang berminat menyertai sektor pertanian dan keterjaminan makanan sekali gus menyumbang secara langsung kepada keperluan asas rakyat serta daya tahan ekonomi negeri.
JS-SEZ juga dijangka memberi manfaat inklusif kepada pengusaha pertanian terutama di luar kawasan zon berkenaan kerana dilihat berpotensi untuk berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran hasil dari seluruh negeri seterusnya mewujudkan jaringan bekalan yang lebih kukuh.
Selain itu, Kerajaan Negeri mencadangkan agar produk pertanian tempatan dijadikan cenderahati rasmi kepada pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026 sekali gus memperkukuh identiti sebagai negeri pengeluar hasil tani berkualiti tinggi.
Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor hadir merasmikan Program Penemusuaan Syarikat Peneraju Dan Pengusaha Tanaman Jabatan Pertanian Negeri Johor Tahun 2025.
#WTN
#Pertanian
#Inisiatif
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor