SISTEM RTS 2 BAKAL BUKA DIMENSI BAHARU HUBUNGAN JOHOR–SINGAPURA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama TYT Lawrence Wong, Perdana Menteri Singapura. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Hubungan strategik Johor dan Singapura terus diperluas menerusi cadangan pelaksanaan Sistem Rapid Transit (RTS 2) yang bakal menghubungkan Tuas, Singapura dengan Iskandar Puteri, Johor.
Itu topik yang menjadi antara agenda utama dibincangkan dalam pertemuan rasmi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama TYT Lawrence Wong, Perdana Menteri Singapura.
Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, Kerajaan Negeri telah mengemukakan cadangan strategik menghubungkan Tuas dan Iskandar Puteri melalui Sistem RTS 2 sebagai lanjutan kepada sambungan mod pengangkutan sama dari Johor Bahru ke Woodlands, sekali gus memperluas jaringan mobiliti dan ekonomi serantau.
Pada pertemuan yang berlangsung di The Istana, Singapura itu juga turut membuka lembaran baharu kerjasama dua hala, memperkukuh hubungan erat antara Johor dan Singapura ke tahap yang lebih menyeluruh dan holistik menerusi pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Selain itu, peranan strategik Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) sebagai pemudah cara utama pelaburan dan penyelarasan dasar turut diperincikan apabila lebih 577 pertanyaan pelaburan telah diterima dengan 70 pelabur telah menunjukkan minat serius, termasuk 11 syarikat yang dirujuk terus oleh agensi pelaburan Singapura.
Prestasi ekonomi Johor turut diketengahkan dalam pertemuan tersebut apabila negeri ini mencatat pelaburan berjumlah RM30.1 bilion dan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.4 peratus pada suku pertama tahun ini, tertinggi di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan yang kukuh, stabil dan berdaya saing.
TYT Perdana Menteri Singapura juga menyambut baik kemajuan pelaksanaan inisiatif JS-SEZ serta melihat potensi kerjasama yang lebih luas merangkumi sektor tenaga, logistik serantau dan pengukuhan hubungan dua hala, selain turut menghargai komitmen Johor dalam mewujudkan pasaran buruh yang adil dan berdaya saing.
Semalam, YAB Menteri Besar Johor memulakan rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke negara jiran itu atas jemputan TYT Dr. Vivian Balakrishnan, Menteri Ehwal Luar Singapura serta menjadi pemimpin Johor pertama dan penerima ke-82 bagi ‘Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF)’ sejak ditubuhkan pada tahun 1991.
#JohorHomeOfChampions
#WTN
#JSSEZ
#FeloLKYEF
#RTSLink
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor