JOHOR TUBUH JAWATANKUASA KHAS TANGANI ISU PEMBUANGAN SAMPAH

Kerajaan Negeri menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi memperkukuhkan penguatkuasaan dan membanteras perbuatan membuang sampah secara haram. | Foto FB AH SOON

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mengenai isu pembuangan sampah di tempat yang tidak sepatutnya dengan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memperkukuh penguatkuasaan dan membanteras perbuatan membuang sampah secara haram.

 

Isu yang telah berlarutan sejak sekian lama di negeri ini, kini diberi perhatian serius menerusi jawatankuasa khas yang akan menghimpunkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Menteri Besar Johor, Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor serta Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor.

 

Selain itu, jawatankuasa khas berkenaan akan turut dianggotai oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) utama di kawasan Johor Selatan, SWCorp, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pusat Kelestarian Johor (JSC) serta Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPEN).

 

Sebelum ini, tiga siri mesyuarat berkaitan telah diadakan dengan penetapan pelbagai langkah serta pelan tindakan termasuk memperhebatkan kempen kesedaran dan aktiviti anti-pembuangan sampah, selain melaksanakan penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan masyarakat mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

 

Setakat Ogos tahun ini, sebanyak 2,058 saman berkaitan pembuangan sampah telah dikeluarkan oleh 16 PBT seluruh negeri, dengan jumlah kompaun melebihi RM335,000 di samping pelbagai inisiatif telah digerakkan oleh Kerajaan Negeri dalam menangani isu ini termasuk program Johor Bersih yang bermula Julai 2022 serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi panas yang telah dikenal pasti.

 

Kerajaan Negeri juga optimis melalui usaha bersepadu ini, masyarakat akan lebih sedar mengenai kesan buruk pembuangan sampah merata-rata yang boleh menjejaskan kelestarian alam sekitar, sistem saliran serta kesejahteraan komuniti.

 

#JohorBersih
#AntiLitter
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor