MEMBANTERAS BULI – USAHA BERSAMA DEMI GENERASI JOHOR BEBAS KETAKUTAN

Gambar hiasan.

 

 

 

Oleh – Profesor Dr. Siti Aisyah binti Panatik
Profesor Psikologi dan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal-Ehwal Pelajar)
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia

 

 

 

 

Buli merupakan tingkah laku agresif yang dilakukan secara berulang dengan tujuan menyakiti, mengugut atau memalukan orang lain. Perbuatan buli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk fizikal (memukul dan menolak), verbal (menghina dan mengejek), emosi atau sosial (mengasingkan dan menyebar fitnah) serta siber (mengugut atau memalukan melalui media sosial).

 

Isu buli sama ada di sekolah, tempat kerja mahupun di ruang siber adalah barah sosial yang perlu ditangani dengan segera dan tegas. Fenomena ini memberi kesan buruk bukan sahaja kepada mangsa malah pelaku dan komuniti. Mangsa sering mengalami tekanan emosi, kebimbangan, kemurungan, kehilangan keyakinan diri dan prestasi akademik yang merosot. Pelaku pula berisiko tinggi terlibat dalam masalah disiplin, salah laku atau jenayah manakala sekolah dan komuniti kehilangan suasana aman, selamat serta saling menghormati.

 

Di Johor, kita menyedari bahawa buli bukan sekadar gurauan keterlaluan, tetapi tingkah laku berulang yang boleh mengancam keselamatan fizikal dan kesejahteraan mental mangsa. Lebih membimbangkan, perkembangan teknologi menjadikan insiden buli mudah tersebar di media sosial sekali gus menambah tekanan kepada mangsa dan keluarga. Menyedari impak serius ini, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif melalui seruan penggubalan undang-undang khusus dan pelaksanaan pelbagai inisiatif pencegahan.

 

Antara inisiatif yang telah dilakukan seperti arahan jelas diberikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) untuk memantau video insiden buli yang tular bagi memastikan kesahihan dan mengelakkan kekeliruan masyarakat. Tindakan undang-undang tegas terhadap pelaku turut menjadi komitmen utama. Malah, suara pemimpin negeri yang menggesa penggubalan Akta Anti-Buli menunjukkan keseriusan Johor dalam membentuk kerangka undang-undang yang lebih kukuh bagi melindungi rakyat.

 

Usaha ini turut seiring dengan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti program Duta Sahsiah dan Gerakan Kepimpinan MADANI: Hentikan Salah Laku Buli dan Seksual yang bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini, Johor Bahru. Pendekatan ini mengiktiraf bahawa pelajar sendiri boleh menjadi agen perubahan dalam memupuk budaya saling menghormati dan menolak buli.

 

Bagaimanapun, membanteras buli bukan tugas kerajaan semata-mata, sebaliknya semua pihak mempunyai peranan masing-masing. Antara langkah-langkah konkrit yang boleh diambil ialah:

  1. Perkukuh Pendidikan Karakter – Didik pelajar dengan nilai hormat, empati, dan toleransi sejak awal di rumah dan sekolah.
  2. Laporkan Segera, Jangan Diam – Gunakan saluran rasmi seperti guru disiplin, pentadbir sekolah, ‘hotline’ atau platform digital untuk melaporkan kes buli.
  3. Perkasakan Peranan Rakan Sebaya – Sokong program seperti Duta Sahsiah yang melatih pelajar menjadi contoh teladan dan pembela rakan yang teraniaya.
  4. Pantau Tingkah Laku di Media Sosial – Ibu bapa dan guru perlu peka terhadap aktiviti dalam talian anak-anak untuk mengesan tanda-tanda buli siber.
  5. Tindakan Tegas dan Konsisten – Pastikan pelaku dikenakan hukuman setimpal dan mangsa diberikan sokongan pemulihan, termasuk kaunseling.
  6. Kempen Kesedaran Berterusan – Laksanakan program di sekolah, komuniti dan platform digital untuk menanam kesedaran bahawa buli adalah perbuatan yang salah dan tidak boleh diterima.

 

Bagi memastikan usaha ini lebih berkesan, beberapa langkah strategik dicadangkan:

  1. Penggubalan Akta Anti-Buli Negeri – Memperluas undang-undang Persekutuan dengan perincian khusus untuk konteks Johor.
  2. Pelaporan Terukur Jawatankuasa Khas – Menetapkan sasaran pengurangan kes buli dan melaporkannya secara berkala kepada Dewan Negeri.
  3. Program Kesedaran dan Sokongan Psikososial – Melaksanakan modul pendidikan anti-buli berterusan dan menyediakan bantuan kaunseling kepada mangsa.
  4. Pemantauan dan Inovasi – Membangunkan sistem pelaporan digital yang selamat serta menganalisis data trend kes buli secara berterusan.

 

Secara bersama, kita mampu membina Johor sebagai negeri contoh di mana setiap warga khususnya generasi muda, dapat belajar, bekerja dan hidup tanpa rasa takut atau tertekan akibat perbuatan buli. Buli bukan budaya kita dan Johor akan terus berjuang memastikan perbuatan ini tidak menjadi warisan masa depan.