KERAJAAN JOHOR KECAM AKAUN PALSU HINA YANG DI-PERTUAN AGONG

Bangsa Johor diseru agar tidak menyebarkan kandungan palsu tersebut serta segera melaporkannya kepada pihak berkuasa sekiranya menemui sebarang hantaran yang menghina Institusi Diraja. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang mewujudkan akaun TikTok palsu menggunakan nama dan imej KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan kandungan bersifat biadab serta menghina Institusi Diraja.
Tindakan memanipulasi wajah Seri Paduka Baginda menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), selain memuat naik tuduhan palsu dan kandungan yang menjatuhkan maruah Tuanku disifatkan sebagai satu penghinaan serius terhadap Ketua Negara dan Institusi Raja-Raja Melayu.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menegaskan kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah, kebencian dan penghinaan terhadap Institusi Diraja yang menjadi tunjang kedaulatan negara serta menyentuh sensitiviti umat Islam serta mencemarkan adab dan tata susila rakyat Malaysia terhadap Institusi Raja-Raja Melayu.
Justeru, Kerajaan Negeri menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya mengambil tindakan segera, tegas dan sekeras-kerasnya terhadap individu atau pihak yang terlibat termasuk dalang di sebalik akaun palsu berkenaan.
Rakyat khususnya Bangsa Johor turut diseru agar tidak menyebarkan kandungan palsu tersebut serta segera melaporkannya kepada pihak berkuasa sekiranya menemui sebarang hantaran yang menghina Institusi Diraja.
Kerajaan Johor turut menzahirkan doa agar KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sentiasa dilindungi Allah SWT serta Institusi Diraja dipelihara daripada segala fitnah dan niat jahat.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


