JOHOR SERIUS TANGANI PENANGKAPAN IKAN HARAM MELALUI TUKUN KONSERVASI

Johor telah melabuhkan 10 unit tukun tiruan jenis kuboid di perairan Pulau Aur, Mersing sebagai langkah menangani aktiviti penangkapan ikan secara haram, khususnya penggunaan pukat tunda. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#Mersing – Kerajaan Johor menyokong usaha Jabatan Perikanan Negeri Johor menangani aktiviti penangkapan ikan secara haram khususnya penggunaan pukat tunda oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan melaksanakan inisiatif melabuhkan 10 unit tukun tiruan jenis kuboid di sekitar perairan Pulau Aur, Mersing.

 

Inisiatif tukun konservasi ini diyakini mampu berfungsi sebagai penghalang aktiviti penangkapan ikan secara haram yang menggunakan taktik pukat tunda, sekali gus berperanan membentuk ekosistem baharu yang menyokong pertumbuhan stok perikanan serta meningkatkan produktiviti sektor berkenaan.

 

Projek konservasi marin ini dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang juga selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam memperkukuh daya tarikan pelancongan lestari menjelang Tahun Melawat Johor 2026 dan juga memperkukuh industri perikanan di negeri ini.

 

Ia secara tidak langsung berupaya menjadikan pulau-pulau di kawasan Taman Laut Sultan Iskandar sebagai destinasi pelancongan marin bertaraf dunia dan contoh pengurusan biodiversiti laut yang mampan di peringkat nasional.

 

Sehingga kini, sebanyak 247 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di 12 lokasi utama di perairan Johor dengan 80 peratus daripadanya tertumpu di daerah Mersing yang meliputi Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Lima, Pulau Besar, Pulau Mertang dan Air Papan.

 

Sementara itu, Majlis Daerah Mersing (MDM) juga sedang melaksanakan kajian semula berhubung jumlah daya tampung aktiviti pelancongan melibatkan pulau-pulau di Mersing bagi menentukan kapasiti sebenar yang mampu ditampung berdasarkan perubahan lokasi untuk aktiviti selam skuba dan ‘island hopping’ bagi menjamin keselamatan pelancong.

 

Bagi tujuan itu, satu mesyuarat bersama semua jabatan teknikal akan diadakan dengan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Mersing bagi menyelaras keputusan bersama, sebelum hasil keputusan mesyuarat berkenaan dibawa ke peringkat Kerajaan Negeri untuk kelulusan serta digunapakai sebagai garis panduan rasmi dalam pengurusan pulau-pulau berkenaan.

 

Terdahulu, YB Dato’ Asman Shah Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bersama YBrs. Puan Rosmawati Ghazali, Pengarah Perikanan Negeri Johor hadir ke Program Melabuhkan Tukun Tiruan Kuboid Penghalang Pukat Tunda di Perairan Pulau Aur, Mersing, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#PerairanMersing
#MesmerisingMersing
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor