HOSPITAL PASIR GUDANG MULA BEROPERASI SECARA BERFASA

YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor berucap dalam sesi penggulungannya pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Hospital Pasir Gudang (HPG) yang mengalami beberapa siri kelewatan pengoperasian kini mula beroperasi secara berperingkat dengan beberapa kemudahan dan perkhidmatan awal bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat, khususnya di kawasan berkenaan.
Bagi pengoperasian HPG, sebanyak 11 daripada 14 kepakaran perubatan utama telah mula beroperasi merangkumi Jabatan Kecemasan dan Trauma, Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Anestesiologi, Obstetrik & Ginekologi.
Ianya juga termasuk perkhidmatan Rehabilitasi, Pergigian, Radiologi, Patologi dan Forensik, sekali gus dengan pembukaan awal ini dapat memberikan akses perkhidmatan kesihatan kritikal kepada pesakit tanpa sebarang penangguhan.
Tiga lagi kepakaran tambahan yang merangkumi perubatan Ortopedik, Otorinolaringologi dan Oftalmologi dijadual beroperasi sepenuhnya pada Mac 2026. Selain itu, tiga buah wad juga telah dibuka bagi menyokong keperluan rawatan pesakit secara komprehensif.
Kerajaan Negeri juga kekal komited memperkasa keperluan mendesak kemudahan kesihatan di seluruh Negeri Johor agar setiap rakyat dapat menerima akses rawatan yang berkualiti, selesa dan selamat, selari dengan aspirasi Maju Johor 2030.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor berucap dalam sesi penggulungannya pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



